BICARA KURSUS PK HEM
TAJUK : Kursus ICT Kepimpinan Instruksional
Tarikh : 11 - 14 Mac 2013
1. Berdasarkan analisis
keputusan peperiksaan awam didapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara
prestasi antara beberapa buah sekolah menengah yang terletak berhampiran
di daerah yang sama, serta mempunyai latar belakang guru, pelajar, ibu bapa,
kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama.
2. Ada sekolah
prestasinya mengatasi peratus kebangsaan manakala sekolah-sekolah lain
prestasinya amat lemah. Perbezaan ini sebenarnya memerlukan satu faktor dalaman
unik bagi sesebuah sekolah iaitu keberkesanan pengetuanya
melaksanakan kepimpinan instruksional di samping komitmen guru-gurunya
terhadap kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pengetua tersebut.
3. Penentuan sama ada status sesebuah
akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah amat bergantung kepada
faktor kepimpinan instruksional yang diamalkan di sekolah berkenaan .
4. Selain itu, perubahan dalam
masyarakat semasa telah memberi tekanan kepada sistem pendidikan terutamanya
terhadap pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian pelajar (Cheryl Graczewski,
Joel Knudson, & Deborah J. Holtzman: 2009). Keghairahan pihak ibu
bapa dan masyarakat terhadap pencapaian akademik sesebuah sekolah juga
menimbulkan pelbagai masalah, isu dan dilema dalam kalangan guru (James Ang
Jit Eng & Balasandran Ramiah : 2009). Pihak Kementerian Pelajaran pula
menyediakan pelbagai standard dan piawaian bagi memastikan pihak sekolah
mencapai kualiti perkhidmatan pendidikan yang telah ditetapkan.
5. Di samping itu, pengurusan
sesebuah kini memerlukan kemahiran seseorang pemimpin yang celik data dalam
menyedia dan menganalisis data kuantitatif dan kualitatif. Kesannya,
tekanan-tekanan dan perubahan ini akan menjadikan pemimpin sesebuah sekolah itu
perlu berusaha menjadikan sekolahnya lebih berkesan dan berakauntabiliti (Meta
L. Kruger, 2010). Bagi memenuhi kehendak ini, pemimpin sekolah perlu berusaha
menyediakan pelbagai strategi bagi menambahbaik mutu pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
6. Selaras dengan usaha
penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, cabaran lain yang
dihadapi oleh pemimpin di sesebuah sekolah adalah usaha kekal bagi
melakukan penambahbaikan prestasi akademik secara berterusan di
sekolahnya. Penambahbaikan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi
akademik pelajar memerlukan faktor dalaman yang kukuh terutamanya
usaha bagi mendapatkan komitmen tinggi daripada para guru bagi menentukan sama
ada sesebuah sekolah itu berstatus sekolah berkesan atau sekolah yang
lemah.
7. Kualiti guru merupakan
salah satu peramal pencapaian pelajar dan ini merupakan salah satu aspek utama
dalam penambahbaikan kualiti pendidikan di sekolah (Peter Trabert Goff et al,
2012). Usaha ini akan dapat dicapai melalui penambahbaikan guru-guru
dalam usaha menyediakan guru-guru berkualiti dengan pelbagai cara
termasuklah program-program pembangunan kapasiti supaya mereka
mampu menerima dan mengamalkan pelbagai inovasi terkini dalam bidang pendidikan
(Samuel F. Fancera & James R. Bliss, 2011).
8. Selain itu, usaha
penambahbaikan sesebuah sekolah juga memerlukan keupayaan kepimpinan
instruksional bukan sahaja dalam kalangan pengetua, penolong-penolong kanan dan
ketua-ketua bidang tetapi juga dalam kalangan guru-guru biasa sekolah itu
sendiri. Dalam hal ini, komitmen guru biasa sebagai pemimpin dan pengurus
pembelajaran di bilik darjah juga adalah antara faktor penting yang menyumbang
terhadap usaha-usaha penambahbaikan kualiti pengajaran dan
pembelajaran di sebuah sekolah.
9. Dalam tempoh kebelakangan
didapati bahawa kepimpinan instruksional pengetua dan komitmen guru mula
dianggap sebagai satu elemen utama dalam strategi penambahbaikan akademik di
sekolah (Yusuf K. K Nsubuga, 2008). Kepimpinan instruksional ialah
kepimpinan yang memfokuskan kepada penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran
(Hallinger, 2005). Dalam hal ini kepimpinan pengetua seorang sahaja tidak dapat
memenuhi semua keperluan bagi menjayakan kepimpinan instruksional.
10. Pengamalan
kepimpinan instruksional yang berkesan memerlukan kolaborasi
pengetua dengan guru-gurunya , selain mengukuhkan
tanggungjawab mereka serta tidak banyak menyekat tugas-tugas mereka
(Meta L. Kruger, 2010). Kajian yang dilakukan oleh Byrk et. al (2010) mendapati
bahawa kepimpinan instruksional di sekolah mampu memainkan peranannya sebagai
pemacu perubahan (driver for change) di sesebuah sekolah. Guru yang
bermotivasi tinggi akan mampu memberi sumbangan terhadap kejayaan
sesebuah sekolah dalam memberi nilai tambah terhadap ‘outcome’ (keputusan
peperiksaan awam) pelajar sekolah berkenaan.
11.Banyak pendapat mengakui
bahawa terdapatnya hubungan sama ada secara langsung atau tidak langsung antara
kepimpinan pengetua dan komitmen guru dalam memupuk pembelajaran pelajar. De
Bevoise (1984) mentakrifkan kepimpinan instruksional sebagai apa-apa
tindakan yang dilakukan oleh pengetua atau melalui penurunan kuasanya
kepada orang lain dalam usaha bagi meningkatkan perkembangan pembelajaran
pelajar.
12. Daripada kajian terhadap aktiviti-aktiviti dan tingkah laku pengetua
sebagai ukuran kepimpinan, Hallinger & Heck (1998), mendapati bahawa
pengetua mempunyai pengaruh tidak langsung terhadap pencapaian pelajar.
Robinson et. al (2008) pula menyimpulkan bahawa pemimpin sekolah yang sentiasa sibuk
dengan aktiviti-aktiviti berkaitan bilik darjah selalunya akan membawa
pengaruh positif terhadap hasil pembelajaran pelajar. Selain itu,
York-Barr & Duke (2004) menerangkan bahawa kepimpinan guru merupakan
proses guru-guru mempengaruhi rakan sejawatan dan komuniti sekolah untuk
menambahbaik amalan pengajaran dan pembelajaran dalam usaha untuk meningkatkan
pencapaiaan pembelajaran pelajar.
13. Sammons et. al (1995)
menyatakan bahawa antara faktor yang yang membezakan sama ada sesebuah
sekolah itu berkesan atau tidak begitu berkesan adalah kehadiran pemimpin
instruksional di sekolah yang mampu memberikan impak yang berbeza
terhadap pembelajaran pelajar. Kajian juga telah mendapati bahawa penempatan
pelajar ke sesebuah sekolah adalah dikaitkan dengan pencapaian pelajar
dan prestasi akademik yang tinggi oleh sekolah berkenaan (Libbey, 2004)
14. Greenfield (1987)
pula menjelaskan bahawa kepimpinan instruksional adalah merujuk kepada
tindakan-tindakan yang diambil oleh pengetua yang memberi perhatian terhadap
usaha-usaha mengembangkan persekitaran kerja guru yang produktif dan memuaskan
serta mengekalkan persekitaran pembelajaran yang diingini kepada
pelajar-pelajar.
15. Dalam hal ini, Yusuf K.K
Nsubuga (2008) menjelaskan bahawa seseorang pengetua itu hanya akan
berjaya meningkatkan prestasi akademik sekolahnya sekiranya pengetua tersebut
telah dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan dan kepimpinan
instruksional yang cukup.
16. Halverson et. al
(2007) pula menyatakan bahawa intipati bagi kepimpinan instruksional adalah
keupayaan pemimpin untuk mengubah sekolah yang pada asalnya budaya merupakan
akauntabiliti dalamannya supaya menjadi sebuah institusi yang mampu memenuhi
kehendak akauntabiliti luaran .Keperluan untuk kepimpinan pengajaran di
sekolah-sekolah telah ditonjolkan melalui kemunculan akauntabiliti
berasaskan standard dan menuntut bahawa pengetua bertanggungjawab
terhadap prestasi pelajar (Cheryl Graczewski, Joel Knudson & Deborah J.
Holtzman, 2009).
17. Mustafa Celikten
(2001) pula menyatakan bahawa kepimpinan instruksional perlu dikongsi oleh
pengetua dengan pihak-pihak lain sama ada di luar atau di dalam sekolah. Dalam
hal ini, komitmen guru-guru bagi pencapaian matlamat sekolah mengehendaki
guru-guru percaya bahawa matlamat adalah sesuatu yang penting dan mereka
berkemampuan untuk mencapainya (Locke & Latham, 1990).
18. Sehubungan itu, pengetua
hendaklah berkemampuan menyelaras dan memotivasikan guru-guru dan
pelajar-pelajar di sekolahnya dalam usaha untuk mencapai matlamat organisasi
serta mewujudkan sekolah berkesan (Inandu & Ozkan, 2006). Selain itu, dalam
usaha bagi menambah keberkesanan kepimpinan ini, pengetua memerlukan bantuan
daripada orang lain bagi membaiki kelemahan kepimpinannya, gaya dan keadaannya.
19. Cheng- Yong Tan
(2012) pula berpendapat bahawa dalam usaha untuk menurunkan kuasa kepada guru
yang dianggap sebagai guru yang berkemahiran dan profesional dalam abad ke -21,
adalah tidak mencukupi bagi pemimpin sekolah dan guru-guru mempelajari tentang
pedagogi dan mengaplikasikannya dengan penuh kesabaran di bilik darjah.
Pengetua hendaklah juga sentiasa bekerjasama dengan guru-gurunya bagi menyokong
pencapaian tinggi semua pelajar dan sentiasa kelihatan di mana-mana sahaja di
kawasan sekolah, pada semua peristiwa di sekolah dan kerap melakukan lawatan
singkat ke bilik-bilik darjah (Semiha Sahin, 2011).
20. Sehubungan itu, Jo
Blase & Joseph Blase (2002), telah menggariskan enam strategi yang boleh
digunakan oleh pengetua bagi meningkatkan profesionalisme guru-gurunya iaitu
menitikberatkan kajian-kajian tentang pengajaran dan pembelajaran, menyokong
kolaborasi dalam kalangan guru, mengembangkan hubungan kejurulatihan dalam
kalangan guru, menggalakkan dan mendorong guru-guru mereka bentuk semula program-program,
mengaplikasi prinsip-prinsip pembelajaran dewasa dan melaksanakan kajian
tindakan bagi tujuan membuat keputusan dalam hal ehwal pengajaran.
21. Setiap komuniti sekolah
mempunyai konteksnya sendiri yang unik di keadaan kerja yang berbeza berlaku.
Para pengetua hendaklah berusaha supaya mereka perlu menjadi lebih fleksibel
dan sentiasa boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran tempat kerja
bagi menyokong pembelajaran pelajar-pelajar dan guru-guru. Selain itu, para
pengetua dan guru hendaklah memahami prasyarat-prasyarat yang menyumbang kepada
kesejahteraan kakitangan di tempat kerja.
22. Akhir sekali, kita hendaklah sedar tentang
pentingnya hubungan baik antara pemimpin sekolah dengan guru-guru. Hubungan
baik adalah sangat penting dan merupakan salah satu prasyarat dalam usaha
mewujudkan persekitaran sekolah produktif dan hubungan manusia yang positif di
sekolah.
H